Sejarah SMTLC

 

Sekolah Menengah Teknik Leboh Cator Ipoh

Pintu Masuk Sekolah

 

    Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1930, dikenali dengan nama 'Goverment Trade School'. Tujuan ditubuhkan ialah untuk melatih belia-belia dalam bidang mekanikal bagi memenuhi keperluan kerja di Federatad Malay States Railway Central Workshop. Bilangan penuntut pada masa itu ialah seramai 25 orang, iaitu 22 orang pelajar Melayu, 2 orang pelajar Cina dan seorang pelajar India. Kelayakan minimum untuk memasuki sekolah itu pada masa ini ialah tamat pengajian sekolah rendah. Pelajar-pelajar yang lulus peperiksaan pada akhir latihan akan diberi Sijil Pertukangan. 


    Pada tahun 1950, sekolah ini telah ditukar nama kepada 'Junior Technical Trade School'. Kursus-kursus yang ditawarkan ialah Mechanical Engineering, Bricklaying and Woodwork, Electrical Engineering dan Welding. 


    Pada 1 Januari 1963, 'Junior Technical Trade School' telah dinaikkan taraf kepada'Secondary Trade School' (Sekolah Menengah Pertukangan) dengan pengambilan pelajar-pelajar tamat tingkatan 3. Dua kursus lagi telah diperkenalkan, iaitu kursus Automobile dan Radio dan Television Servicing. Selain daripada matapelajaran ketukangan, pelajar-pelajar juga diajar dengan matapelajaran am yang berkaitan dengan kursus, seperti Mechanical Sciene dan Building. Bahasa penghantar yang digunakan ialah bahasa inggeris. 


    Pada tahun 1968, sekolah ini telah bertukar nama kepada Sekolah Menengah Vokasional Ipoh. Sebahagian besar peralatan telah dibekalkan melalui Rancangan Colombo di antara tahun 1963 hingga tahun 1970. Kursus-kursus yang ditawarkan ialah sama dengan sekolah-Sekolah Menengah Vokasional Pertukangan yang lain iaitu, Pepasangan dan Penyelanggaraan Elektrik, Menggegas dan Memesin ,Kerja Kepingan Logam dan Kimpalan, Kajisawat Motor, Kerja Kayu dan Binaan Bangunan serta Perdagangan. Jangka masa latihan telah dipendekkan dari 3 tahun kepada 2 tahun iaitu tingkatan 4 dan 5. Kelayakan minimum bagi mengikuti kursus pada ketika itu ialah pangkat 'S' dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dengan kelulusan Bahasa Malaysia sebagai syarat wajib dan 2 matapelajaran Ilmu Hisab, Sains atau Seni Perusahaan.


    Pada tahun 1987, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan dan melaksanakan sistem baru pendidikan vokasional di semua Sekolah Menengah Vokasional. Menerusi sistem ini, Sekolah Menengah Vokasional menawarkan 2 aliran kursus, iaitu Aliran Pendidikan dan Kemahiran. Aliran Pendidikan Vokasional menawarkan pelbagai kursus disamping matapelajaran akedemik yang sama seperti terdapat di sekolah menengah biasa. Pelajar-pelajar aliran ini akan menduduki peperiksaan (SPMV) pada akhir tahun ke-2 tingkatan 5. Manakala aliran kemahiran menawarkan pelbagai kursus kemahiran vokasional yang lebih menitik beratkan latihan amali khusus untuk memperolehi sijil kemahiran peringkat asas pada tahun pertama dan peringkat pertengahan pada tahun kedua. Pada mulanya sijil kemahiran ini dikenali sebagai Sijil Lembaga Latihan Penindustrian dan persijilan Ketukangan Kebangsaan (LLPPKK), yang kemudiannya bertukar nama kepada Sijil Majlis Latihan Vokasianal Malaysia(MLVK) pada tahun 1990 dan mulai tahun 1992 dikenali sebagai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

    Pada tahun 1997 sekolah dinaiktarafkan dan kini sekolah dikenali sebagai SEKOLAH MENENGAH TEKNIK LEBUH CATOR IPOH. 3 kursus aliran teknik ditawarkan iaitu Pengajian Kejuruteraan Awam, Pengajian Kejuruteraan Jentera, Pengajian Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik.